..:: Nine - O Club ::..

Pendidikan

Mara anjur program permohonan terbuka bagi lulusan SPM

 KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menganjurkan program permohonan terbuka bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang belum mendapat tempat di Institusi Pengajian Tinggi di seluruh negara mulai 2 Jun ini.

Mara dalam satu kenyataan hari ini berkata, program itu bertujuan mendedahkan kepada pelajar, terutama pelajar bumiputera, mengenai peluang pendidikan yang ada.

Menurutnya, program itu disertai oleh pelbagai institusi pendidikan Mara termasuk Kolej Profesional Mara (KPM), Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara(KKTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) dan German-Malaysian Institut (GMI).- Bernama

Luar Negara

Taiwan hari ini mempunyai Presiden baru

 TAIPEI (Taiwan): Taiwan hari ini mempunyai Presiden baru, Ma Ying-jeou, 57, seorang graduan Universiti Harvard.


Beliau yang mengangkat sumpah di Bangunan Pre siden, pagi ini dilihat berkemampuan untuk mensta bilkan hubungan negara itu dengan pesaingnya, China.

Taiwan dan China berpecah selepas perang saudara pada 1949, namun Beijing masih mendakwa negara kepulauan itu adalah sebahagian wilayahnya dan be berapa kali mengancam untuk menyerang Taiwan.


Ma menggantikan Chen Shui-bian, bekas presiden apabila partinya, Frank Hsieh tewaskan mudah kepada Ma. - (AP)

Isu Semasa

4 langkah atasi beban



Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

Kerajaan prihatin bantu rakyat harungi tempoh sukar: Abdullah

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mengumumkan butiran mengenai empat langkah segera awal minggu depan untuk meringankan beban pengguna berikutan kenaikan mendadak harga minyak dan tarif elektrik, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, empat langkah itu membabitkan tindakan penjimatan kos oleh jabatan dan agensi kerajaan, memperluaskan jaringan jaminan sosial bagi rakyat berpendapatan rendah dan golongan kurang bernasib baik seperti ibu tunggal serta orang kurang upaya, menambah senarai bahan kawalan untuk mengekalkan harga rendah dan meningkatkan jumlah pengangkutan awam seperti bas.

Dalam pertemuan dengan editor kanan di sini semalam, Abdullah berkata, kerajaan amat prihatin dengan beban yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga bahan api dan tarif elektrik.

Beliau berkata, menaikkan harga minyak dan tarif elektrik bukanlah suatu tindakan yang digemari kerajaan tetapi ia terpaksa dilakukan sekarang bagi faedah jangka panjang negara dan generasi akan datang.

Abdullah berkata, pegawai kerajaan yang diamanahkan untuk memperincikan perkara itu akan bertugas sepanjang hujung minggu ini untuk membolehkan langkah berkenaan diumumkan awal minggu depan.

Sambil menghuraikan langkah itu, beliau berkata, tindakan penjimatan kerajaan itu termasuk mengurangkan kunjungan ke luar negara dan jumlah pegawai yang terbabit.

Beliau berkata, wang daripada langkah penjimatan di jabatan dan agensi kerajaan akan digunakan untuk perkara lain yang boleh memanfaatkan rakyat.

Mengenai langkah memperluas jaminan jaringan sosial, beliau berkata, ini bermakna memperbesar ambangnya untuk meliputi lebih ramai rakyat dalam golongan berpendapatan rendah dan kumpulan kurang bernasib baik.

Perdana Menteri memberi contoh, jika kini sejumlah kanak-kanak sekolah sudah mendapat pakaian sekolah dan makanan percuma, tetapi pembesaran itu akan bermakna lebih ramai lagi yang boleh mendapat keistimewaan yang sama.

Abdullah berkata, kerajaan sedar akan kemungkinan harga makanan turut meningkat berikutan kenaikan harga bahan api dan elektrik, maka bilangan barang perlu dalam senarai harga kawalan akan diperbesar untuk mengekalkan harga rendah.

Langkah itu akan memastikan rakyat tidak dibebani dengan harga makanan yang mahal, katanya.

Perdana Menteri berkata, terdapat bidang lain yang sedang dikaji kerajaan bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung rakyat.

Beliau turut mengumumkan penubuhan Majlis Inflasi Negara yang dianggotai wakil kerajaan dan sektor swasta. Ia akan mengadakan mesyuarat pertamanya Isnin ini.

Abdullah berkata, langkah baru itu bertujuan mengurangkan impak negatif terhadap golongan berpendapatan rendah kerana kerajaan sentiasa prihatin akan kebajikan rakyat.

Beliau yakin kerajaan akan berupaya membantu rakyat mengharungi tempoh sukar ini seperti yang berjaya dilakukan ketika kemelesetan ekonomi pada pertengahan 1980an dan krisis kewangan pada 1997.

Katanya, jika kerajaan tidak mengurangkan subsidi minyak, bermakna kerajaan akan terpaksa membelanjakan kira-kira RM28 bilion tahun ini.

Ini adalah langkah kurang bijak jika seseorang itu mengambil kira pendapatan tahunannya kira-kira RM154 bilion, katanya.

Abdullah berkata, kerajaan berjaya dalam mengurangkan defisit belanjawan kepada 3.2 peratus daripada 5.5 peratus pada 2000 tetapi jika ia terus memberi subsidi minyak, maka belanjawan defisit akan meningkat antara 6.0 dan 10 peratus.

Dengan mempunyai bajet defisit yang begitu tinggi akan memberikan impak negatif terhadap penarafan kedaulatan Malaysia walaupun kerajaan tidak sering ke pasaran wang untuk meminjam, katanya.

Bagaimanapun, penurunan rating oleh agensi penarafan akan memberi impak tidak langsung terhadap pinjaman yang dilakukan syarikat Malaysia dan ini bermakna mereka perlu membayar lebih.

Menyentuh saranan sesetengah pihak supaya kerajaan menggunakan dananya untuk memantapkan ekonomi kini, Abdullah berkata, ia bukan suatu tindakan yang wajar dilakukan sekarang.

Katanya, jika berlaku krisis besar ekonomi global atau kemelesetan dan Malaysia telah menggunakan sebahagian besar dananya hanya untuk memberi subsidi minyak, maka akan dilihat negara telah kehabisan modal atau usaha.

Abdullah berkata, dana hanya patut digunakan untuk tujuan memantapkan bagi merangsangkan ekonomi jika berlaku kemelesetan global.

Beliau berkata, sebelum ini ketika kerajaan memberikan subsidi yang besar harga minyak, ramai yang bukan dalam golongan sasarannya seperti rakyat asing, mengambil kesempatan menipu dan penyeludup meraih keuntungan yang lebih daripada skim subsidi itu. - BERNAMA

 

Rakyat diminta sabar, bijak hadapi isu minyak



BERSYUKUR: Seri Paduka bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membaca Surah Yassin sempena Hari Keputeraan Seri Paduka di Masjid Negara, malam tadi.

Seri Paduka mahu sumber petroleum diurus dengan lebih cekap

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah menyeru semua rakyat supaya bersabar dan bertindak bijak dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang berikutan kenaikan harga minyak.

Seri Paduka bertitah: “Jika perlu mungkin elok untuk kita mengubah suai gaya hidup bagi memastikan tekanan daripada masalah ini dapat dikurangkan.

"Beta akur bahawa masalah kenaikan harga ini sememangnya amat menekan kehidupan rakyat. Namun beta berharap agar rakyat semua bersabar dan bertindak bijak dalam menghadapi situasi seumpama ini,” titah Seri Paduka sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong esok yang disiarkan menerusi RTM, malam tadi.

Seri Paduka mahu kerajaan terus memantau situasi itu dan mengambil segala tindakan bagi memastikan masalah dapat diatasi.

"Insya-Allah berkat kesabaran dan kebijaksanaan kita, masalah ini akan sama-sama kita atasi dan kita akan bertambah matang dan kuat untuk menjalani kehidupan seterusnya,” titah Seri Paduka.

Seri Paduka juga menitahkan supaya pengurusan sumber petroleum negara diurus dengan cekap supaya kekayaan itu dapat terus diwarisi dan dinikmati oleh generasi akan datang.

Titah Seri Paduka, jika bukan dalam bentuk asalnya, hasil yang diperoleh hari ini wajar dilaburkan dalam aspek lain seperti pembangunan prasarana supaya ia turut dinikmati generasi akan datang.

"Beta khuatir dan prihatin apabila dimaklumkan bahawa menjelang 2011, import petroleum negara akan lebih tinggi daripada eksport.

"Beta berpandangan bahawa adalah tidak adil jika kurniaan Tuhan ini kita perah dan manfaatkan hasilnya dengan sepenuhnya tanpa ditinggalkan sedikitpun untuk generasi akan datang,” titah Seri Paduka.

Merujuk kepada sistem kehakiman negara, Seri Paduka mahu melihat sistem kehakiman wujud sebagai institusi yang bebas, adil dan diyakini rakyat.

Seri Paduka menyambut baik sebarang usaha yang diambil untuk memperkasakan sistem kehakiman negara, termasuk penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Hakim.

Seri Paduka turut mengalu-alukan usaha kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Parlimen Mengenai Pencegahan Rasuah dan pengambilan lebih ramai pegawai pencegah rasuah.

Baginda juga yakin rancangan kerajaan untuk mengkaji semula Akta Percetakan dan Penerbitan Negara dapat memastikan media memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan sewajarnya.

Sukan

Ronaldo akui minat Real Madrid



MESRA: Ronaldo memeluk kenalannya di hadapan hotel penginapan skuad Portugal di Geneva, Switzerland, semalam.

Alex Ferguson lebih rela pemain itu ‘reput’ dalam barisan simpanan United

LONDON: Pemain sayap Manchester United, Cristiano Ronaldo mengakui dia mahu beraksi untuk juara bola sepak Sepanyol, Real Madrid, menurut laman web Brazil, kelmarin.

Walau pun United sudah menegaskan secara berulang kali tidak akan menjual pemain aset mereka itu, tambahan pula Alex Ferguson berkata mereka lebih rela pemain itu ‘reput’ dalam barisan simpanan, kini komen diluahkan Ronaldo seperti membuka semula suatu kemungkinan betapa dia akan meninggalkan Old Trafford.

Ronaldo menyuarakannya di laman web Terra itu yang kemudian mendakwa ia satu temubual eksklusif bersama pemain antarabangsa Portugal itu.

“Saya mahu beraksi untuk Real Madrid tetapi hanya jika benar mereka mahu membayar United apa harga yang diminta. Namun, ia tidak bergantung kepada saya,” katanya.

Real dipercayai menawarkan Ronaldo AS$586,000 (RM1.9 juta) seminggu selepas cukai untuk berpindah ke Bernabeu dan akan membayar United bayaran yang bakal mencatat rekod dunia jika perjanjian itu dapat dibereskan.

Namun, Ronaldo menambah dia tidak akan membincangkan masa depannya ketika saingan Euro 2008 kerana dia tidak mahu hilang fokus kepada usaha membantu skuad negara.

“Bermula hari ini saya tidak mahu bercakap mengenai topik perpindahan kelab lagi. saya hanya akan bercakap selepas tamat Euro 2008. Jangan tanya saya soalan. Saya tidak akan menjawab,” katanya.

Juara Sepanyol itu tampak mahu menyerah kalah dalam perebutan itu selepas United mengancam mahu membawa isu perpindahan itu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Kini Ferguson pasti akan terkejut untuk mendapat tahu Ronaldo, yang menjaringkan 42 gol dalam semua pertandingan musim lalu, semakin hampir mahu keluar daripada pasukan itu selepas membimbing pemain muda itu menjadi antara bintang terbaik dunia.

United sudah pasti akan berjuang untuk mengekalkan pemain itu manakala Real dijangka berusaha keras dalam usaha mendapatkan tandatangan bintang itu dalam perpindahan utama musim panas ini. - AFP